Program CLMV

Latar Belakang

Tahun 2012, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (kini dikenali Kementerian Pendidikan Tinggi) menetapkan sasaran untuk melaksanakan program pemasaran pendidikan di negara Kemboja, Lao PDR, Myanmar dan Vietnam (CLMV) sebagai Program Berimpak Tinggi (HIP). Inisiatif ini adalah penting bagi menyokong pelaksanaan dasar Inisiatif Ikatan Antarabangsa Pengajian Tinggi Malaysia yang bertujuan untuk membolehkan Malaysia menawarkan kepakaran dan pengalamannya dengan negara serantau dan juga negara membangun lain. Ini juga selaras dengan dasar dan strategi pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Malaysia yang telah ditetapkan melalui dokumen dasar seperti Dasar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang menggariskan enam sektor kritikal dalam melaksanakan pengantarabangsaan mobiliti pelajar, kakitangan, program akademik, penyelidikan dan pembangunan, governans dan autonomi serta penglibatan integrasi sosial dan komuniti.

Hubungan kerjasama Malaysia dengan negara CLMV bermula daripada ASEAN University Network (AUN) dan Initiatives for ASEAN Integration (IAI) untuk bengkel Higher Education Management in CLMV yang telah diadakan di Hanoi, Vietnam pada 19 hingga 21 Disember 2005. Bermula daripada bengkel ini, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengambil inisiatif untuk merancang dan mengadakan Siri Dialog Strategik Malaysia dengan negara CLMV. Siri dialog antara Malaysia dengan negara CLMV ini telah dimulakan pada tahun 2008 yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam mentadbir urus sektor pendidikan tinggi negara dan seterusnya dijadikan model kepada negara CLMV dengan semangat ASEAN. Siri dialog ini bertujuan untuk mengetengahkan Malaysia sebagai watak utama dalam mengemukakan agenda pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara dalam aspek berkaitan dengan merangka polisi dan garis panduan pendidikan tinggi. Selain itu juga, Malaysia berhasrat untuk menonjolkan kepakaran dan kesanggupan untuk menjalinkan kerjasama dengan negara CLMV dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan, mobiliti staf akademik dan pelajar, jaminan kualiti, pengajaran dan pembelajaran, kepimpinan dan lain-lain bidang kepakaran yang berkaitan. Negara CLMV juga sentiasa memandang ke hadapan dalam mewujudkan rangkaian jaringan dan kerjasama dengan Malaysia, terutama dalam memantapkan modal insan dan kapasiti institusi negara. Prinsip asas dalam mengadakan kolaborasi dan perkongsian antara Malaysia dan negara CLMV berteraskan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Program ini juga melihat kepada cabaran dan perubahan landskap pengajian tinggi di negara CLMV dimana ianya menunjukkan keprihatinan masyarakat akan kepentingan pengajian tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat yang pada asasnya bermula daripada penguasaan ilmu seseorang individu. Program ini berupaya untuk meningkatkan kapasiti rakyat negara CLMV agar ianya boleh menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan memantapkan tahap persaingan global negara CLMV.

Objektif Program CLMV

  • Untuk menarik minat negara, organisasi dan masyarakat di Negara CLMV untuk menjalinkan kerjasama khususnya dalam bidang penyelidikan, pengukuhan, jaringan dan pengantarabangsaan. Melalui dua (2) strategi iaitu
    • Pendidikan tinggi sebagai kuasa tambatan hati dan nurani dalam membina hubungan diplomatik dengan negara terlibat.
    • Hubungan tersebut akan mewujud dan mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.
    • Memperkukuhkan kedudukan IPT di peringkat antarabangsa menerusi memperkukuhkan jaringan kolaborasi/kerjasama dengan negara CLMV dan negara-negara lain. Kerjasama ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti peningkatan produktiviti negara menerusi kolaborasi penyelidikan, pengkomersilan, pemindahan teknologi dan lain-lain lagi.
  • Objektif utama
    • Memartabatkan bidang kepakaran Malaysia dalam membantu negara CLMV dan negara rakan terpilih lain dalam pelbagai bidang melalui penyelidikan.
    • Geran penyelidikan yang ditawarkan boleh membantu Negara CLMV dan negara rakan terpilih dalam mewujudkan penemuan ilmu baharu, penerbitan, paten, produk yang boleh dikomersialkan dan pembangunan modal insan.
    • Untuk menjalankan aktiviti penyelidikan yang berkualiti, menepati keperluan Negara CLMV dan negara rakan terpilih serta memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.
    • Untuk memantapkan fungsi dan peranan IPT sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang memainkan peranan yang asas dalam mencapai pembangunan yang mampan dan lestari.
  • Tawaran penyelidikan juga terbuka kepada pasukan penyelidik daripada Fasa I, II dan III untuk melihat semula keberkesanan projek penyelidikan yang telah dilaksanakan di negara Kemboja, Lao PDR, Myanmar dan Vietnam. Pasukan penyelidik perlu menyediakan kertas cadangan kajian dengan memberikan objektif kajian yang menunjukkan adanya output hasil daripada projek penyelidikan tersebut seperti:
    • Susulan lanjut mengenai impak dan output hasil pelaksanakan kajian di negara CLMV
    • Bilangan pelajar daripada negara CLMV yang mampu menyambung pelajaran di Malaysia
    • Pelajar yang terlibat dalam program latihan dan telah menjadi pelatih di institusi masing-masing
    • Pelajar yang dilantik sebagai RA dalam kajian agar diberikan peluang untuk mengikuti kursus Bahasa English dalam usaha melanjutkan pengajian dalam pascasiswazah
    • Bagaimana untuk menarik bakal pelajar dan staf daripada negara CLMV untuk mengikuti pengajian pascasiswazah dan latihan kepakaran di Malaysia
    • Penglibatan negara CLMV dalam pelbagai bidang di bawah kepakaran Malaysia
  • Program CLMV akan memberikan impak kepada Malaysia dan pendidikan tinggi Malaysia melalui
    • Potensi jangka masa panjang untuk pendidikan tinggi di Malaysia melalui Negara CLMV
    • Potensi untuk manfaat libatsama komuniti antara Malaysia dan Negara CLMV
    • Potensi untuk capacity building di Negara CLMV
    • Potensi untuk menarik pelajar pasca siswazah dari Negara CLMV ke Malaysia
    • Potensi kolaborasi di antara penyelidik Malaysia dan Negara CLMV
  • Kluster Program CLMV terbahagi kepada lima bidang, iaitu
    • Penyelidikan, yang merangkumi
      • Pertanian
      • Keselamatan makanan
      • Kesihatan (tropical medicine), pendidikan
      • Kesihatan (penyakit berjangkit)
      • Kesihatan [pencemaran (alam sekitar)]
      • Keselamatan jalan raya/pengurusan trafik
      • Keselamatan air
    • Pembelajaran dan Pengajaran
    • Jaringan Masyarakat dan Mobiliti Pelajar
    • Jaminan Kualiti
    • Kepimpinan

Jangkaan Pencapaian

  • Memberikan implikasi kepada dasar penglibatan Malaysia di peringkat global
  • Mengadakan program intensif jangka pendek/program latihan kepada kakitangan kerajaan dan rakyat daripada Negara CLMV
  • Menerbitkan manual pembelajaran (Training of Trainer) yang sesuai untuk negara CLMV
  • Berhasrat untuk:
    • Menjalinkan hubungan pengantarabangsaan terutamanya dengan negara rakan terpilih iaitu CLMV khususnya
    • Menarik para pelajar dari negara CLMV untuk menyambung pelajaran dalam bidang ijazah sarjana dan doktor falsafah di Malaysia berdasarkan kepada konsep tambatan hati
    • Mempromosi bidang kepakaran Malaysia seperti penyelidikan dalam sains dan teknologi, perubatan, vaksin, pendidikan, pertanian dan lain-lain agar Malaysia boleh menjadi suri tauladan kepada negara CLMV
    • Berkolaborasi dengan syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bidang halal dengan bekerjasama dengan tenaga pakar Malaysia dan negara CLMV

Syarat Permohonan

  • Menggunakan borang kertas cadangan yang disediakan untuk permohonan projek penyelidikan.
  • Penyelidik diminta menyediakan maklumat seperti berikut:
    • Senarai lengkap pasukan penyelidik dengan dinyatakan nama ketua penyelidik utama dan digalakkan mempunyai seorang penyelidik daripada Negara CLMV. Ringkasan biodata penyelidik hendaklah dilampirkan bersama.
      • Nama ketua penyelidik utama. Ketua penyelidik utama hendaklah dilantik daripada warganegara Malaysia.
    • Ahli pasukan penyelidik hendaklah terdiri daripada pelbagai universiti, sekurang-kurangkan tiga buah universiti.
    • Pasukan penyelidik disarankan mempunyai kesinambungan antara pensyarah kanan dengan pensyarah baharu dalam penyelidikan ini.
    • Pihak pengurusan penyelidikan IPT adalah dipohon untuk membuat saringan terlebih dahulu terhadap kertas kerja cadangan Program CLMV sebelum dikemukakan kepada pihak Sekretariat. Pihak IPT boleh menghantar satu kertas kerja cadangan bagi setiap bidang dalam Program CLMV mengikut bidang kepakaran masing-masing.
  • Projek penyelidikan berformat aplikasi adalah diutamakan.
  • Setiap permohonan kertas cadangan penyelidikan, adalah digalakkan untuk menunjukkan pelbagai disiplin, penyelesaian berasaskan manusia terhadap isu-isu kelestarian, penjanaan kekayaan, dan/atau agenda golongan terkebawah bagi negara CLMV.
  • Siling penyelidikan: Maksimum: RM80,000.00
  • Tempoh pelaksanaan geran adalah seperti berikut:
    • Tempoh minima: 3 bulan
    • Tempoh maksima: 9 bulan
  • Penyaluran dana penyelidikan akan mengikut prosedur kewangan IPPTN yang tertakluk kepada peraturan kewangan Universiti Sains Malaysia seperti:
    • Penyaluran peruntukan kajian dibuat secara berperingkat kepada universiti terlibat.
    • Projek penyelidikan yang diketuai oleh staf akademik USM, pembukaan sub-akaun IPPTN dengan pihak RCMO USM dan pengurusan kewangan akan dikendalikan oleh IPPTN.
    • Cadangan penyaluran adalah berdasarkan kepada perkembangan kajian.
  • Pasukan penyelidik yang berjaya akan diminta untuk membentangkan kertas cadangan kajian kepada Jawatankuasa Penilaian Program CLMV.
  • Penyaringan Kertas Cadangan Penyelidikan
    • Setiap IPT digalakkan untuk menghantar satu kertas cadangan penyelidikan mengikut jenis bidang yang disenaraikan dalam tawaran penyelidikan.
    • Proses permohonan perlu disaring terlebih dahulu di peringkat IPT masing-masing.
    • Kertas cadangan yang telah diperakui oleh IPT masing-masing, hendaklah dimajukan kepada Sekretariat.
    • Setiap cadangan yang diterima, akan dibuat saringan kedua oleh Jawatankuasa Penilaian.
    • Permohonan kertas cadangan kajian yang terpilih akan diminta untuk membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Penilaian.
    • Jawatankuasa Penilaian akan mencadang serta mengusulkan penambahbaikan kepada projek penyelidikan yang berpotensi.
    • Pihak Sekretariat akan memberikan maklum balas kepada semua pemohon secara bertulis. Pasukan penyelidik diminta untuk membuat penambahbaikan kertas kerja cadangan penyelidikan untuk disemak semula oleh Jawatankuasa Penilaian.
    • Jawatankuasa Penilaian akan membentangkan senarai projek yang lulus kepada Jabatan Pendidikan Tinggi untuk mendapatkan pengesahan.
    • Penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian adalah berdasarkan kepada syarat, peraturan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh BEM, JPT serta lain-lain garis panduan KPT.
    • Pihak Sekretariat akan mengeluarkan surat tawaran penyelidikan kepada pasukan penyelidik yang berjaya.

Tempoh Kajian

  • Tempoh kajian ditetapkan sepertimana yang dinyatakan dan dipersetujui dalam Surat Tawaran dan Surat Setuju Terima.
  • Dapatan kajian perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Penilaian Program CLMV mengikut peringkat pelaksanaan kajian seperti berikut:
    • Laporan Interim : Dikemukakan dan dibentangkan kepada pihak pengurusan Sekretariat Program CLMV/Jawatankuasa Penilaian selepas tiga bulan kajian dilaksanakan untuk tujuan penyaluran peruntukan penyelidikan seterusnya.
    • Draf Laporan Akhir : Dikemukakan dan dibentangkan kepada pihak pengurusan Sekretariat Program CLMV/Jawatankuasa Penilaian selepas kajian selesai dilaksanakan.
    • Laporan Akhir (hardcopy dan softcopy) : Dikemukakan dan/atau dibentangkan kepada pihak pengurusan BEM JPT, Sekretariat Program CLMV dan Jawatankuasa Penilaian Program CLMV selepas pemurnian laporan dibuat.
  • Nota:
    • Laporan ini hendaklah dihantar melalui IPPTN kepada pihak KPT.
    • Laporan interim hendaklah disertakan dengan perincian perbelanjaan semasa.
Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang tertentu, pihak Sekretariat Program CLMV berhak untuk memanggil penyelidik membuat pembentangan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Penyaluran Dana Penyelidikan

  • Dana penyelidikan untuk projek yang berkaitan akan disalurkan daripada KPT kepada IPPTN selaku penyelaras bersama dalam Program CLMV. Pihak IPPTN akan membuat penyaluran dana penyelidikan kepada IPT berkenaan. Bayaran pertama disalurkan selepas surat setuju terima tawaran penyelidikan dikemukakan kepada pihak Penyelaras. Penyaluran peruntukan seterusnya akan dibuat penyaluran mengikut laporan perkembangan pelaksanaan kajian sebagaimana yang dinyatakan dalam surat tawaran.
  • Penyaluran dana penyelidikan ke IPT berkenaan akan mengikut prosedur kewangan yang tertakluk kepada peraturan kewangan Universiti Sains Malaysia seperti:
    • Penyaluran peruntukan kajian dibuat secara berperingkat kepada IPT terlibat.
    • Cadangan penyaluran peruntukan seterusnya adalah berdasarkan kepada laporan perkembangan pelaksanaan kajian.
    • Pembayaran geran penyelidikan adalah seperti dalam jadual berikut:
Bil.

Kadar Bayaran

1

Bayaran pertama

50% daripada jumlah geran

Proses penyaluran bayaran pertama hanya akan dibuat selepas Surat Setuju Terima yang lengkap dikemukakan kepada IPPTN oleh pasukan penyelidik.

2

Bayaran kedua

40% daripada jumlah geran

Proses penyaluran bayaran kedua hanya akan dibuat selepas Laporan Interim kajian/laporan perkembangan pelaksanaan kajian dikemukakan dan/atau dibentangkan dalam Jawatankuasa Penilaian Program CLMV. Laporan ini perlu disertakan bersama dengan penyata kewangan projek.

3

Bayaran ketiga

10% daripada jumlah geran

Proses penyaluran bayaran ketiga hanya akan dibuat selepas

i) Draf laporan akhir dikemukakan dan/atau dibentangkan kepada pihak pengurusan BEM, Jawatankuasa Penilaian Program CLMV dan Sekretariat Program CLMV.

ii) Draf laporan akhir perlu disertakan dengan penyata kewangan projek.

iii) Penyerahan laporan akhir kajian dalam bentuk hardcopy dan softcopy seperti mana yang terkandung dalam surat tawaran.

Deliverables

  • Pihak pasukan penyelidik adalah dimestikan untuk memberikan data/maklumat secara hardcopy dan softcopy yang telah diperolehi dalam aktiviti projek penyelidikan dijalankan untuk simpanan dan rujukan Sekretariat Program CLMV. Data kajian di bawah Program CLMV akan dimasukkan dalam pangkalan data.
  • Laporan akhir penyelidikan yang akan dihantar kepada Sekretariat perlulah melalui IPPTN berdasarkan format yang telah ditetapkan (Rujuk Lampiran 16a & 16b). Laporan tersebut hendaklah dikemukakan kepada IPPTN dalam tempoh dua minggu selepas tamat tempoh penyelidikan. IPPTN seterusnya akan memanjangkan laporan akhir penyelidikan kepada KPT untuk pertimbangan dan pembentangan. Penambahbaikan laporan selepas pembentangan adalah mengikut tempoh yang ditetapkan oleh KPT.
  • Selepas laporan akhir kajian dibentangkan kepada Jawatankuasa dan dibuat pemurnian laporan, perkara-perkara seperti berikut hendaklah dihantar kepada Sekretariat selewat-lewatnya satu bulan dari tarikh pembentangan:
    • 10 naskah Laporan Akhir Kajian yang lengkap dan komprehensif termasuk abstrak dan ringkasan eksekutif dalam bentuk softcopy (CD) dan dalam bentuk MS Word.
  • Penyelidik dikehendaki untuk menyumbang satu artikel berdasarkan dapatan kajian dalam penerbitan IPPTN seperti Bulletin of Higher Education Research dan Higher Education Newsletter.

Penyata Kewangan

  • Penyata kewangan projek penyelidikan perlu dikemukakan bersama-sama dengan laporan perkembangan kajian, laporan akhir kajian dan apabila diminta oleh pihak Sekretariat pada bila-bila masa diperlukan.

Kos Penyelidikan

  • Tawaran geran Program CLMV akan dibuka sekali setahun tertakluk kepada peruntukan dan aspirasi Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap sumbangan Malaysia kepada negara CLMV.
  • Peruntukan Program CLMV adalah sebagai duit suntikan modal atau 'seed money'. Pihak universiti boleh menambahkan peruntukan kewangan untuk projek yang dilaksanakan daripada universiti masing-masing.
  • Pihak Kementerian tidak semestinya perlu menambah peruntukan kewangan untuk projek penyelidikan Malaysia dan negara CLMV.
  • Penyelidik Malaysia adalah digalakkan untuk bekerjasama dengan penyelidik negara CLMV untuk mendapatkan dana peruntukan daripada pihak antarabangsa seperti UNESCO, Asian Development Bank, Japan Foundation, Bank Dunia dan lain-lain lagi bagi mendapatkan peruntukan projek penyelidikan. Cadangan kertas kerja hendaklah disediakan oleh penyelidik negara CLMV dengan bantuan pasukan penyelidik Malaysia.
  • Perincian kos penyelidikan bagi projek di bawah Program CLMV adalah tertakluk kepada had yang ditetapkan seperti berikut:
    • Tiada bayaran sagu hati atau honorarium kepada pasukan ahli penyelidik kerana projek di bawah Program CLMV merupakan projek kebangsaan.
    • Bilangan ahli pasukan penyelidik: Sekurang-kurang daripada tiga buah universiti (termasuk Ketua Penyelidik/Projek) dan digalakkan mempunyai sekurang-kurangnya seorang penyelidik daripada negara CLMV.
    • Tuntutan perjalanan: Pengangkutan darat/udara tertakluk kepada kadar terendah/tambang kelas ekonomi.
    • Kos penginapan: Dibuat secara pakej dengan penjimatan. Sekiranya tuntutan dibuat untuk perseorangan, jumlah tuntutan adalah terhad kepada kadar RM350.00 seorang/malam (termasuk makan dan minum) mengikut kelayakan.
    • Elaun kepada pembantu siswazah (GRA): Terhad kepada kadar standard iaitu RM1,300.00 bagi peringkat pengajian sarjana dan RM1,500.00 bagi peringkat pengajian doktor falsafah.

Pengurusan Aset Projek Penyelidikan

  • Penawaran geran penyelidikan adalah tidak termasuk pembelian peralatan/aset seperti komputer riba (laptop), kamera video, kamera digital, mesin pencetak (printer), mesin pengimbas (scanner), projektor LCD yang melebihi kos RM1,000.00. Walau bagaimanapun, sekiranya peralatan/aset seperti yang dinyatakan sangat diperlukan, dan dibeli dengan menggunakan dana projek Program CLMV, maka peralatan/aset tersebut akan menjadi hak milik KPT dan penyelidik perlu mengembalikan peralatan/aset tersebut kepada IPPTN selepas kajian selesai dilaksanakan. KPT akan membuat keputusan sama ada peralatan/aset tersebut akan ditempatkan di pusat penyelidikan IPT masing-masing.
  • Pembelian aset perlulah dimaklumkan kepada Sekretariat Program CLMV terlebih dahulu dan aset tersebut akan didaftarkan di bawah IPPTN selaku penyelaras dalam Program CLMV. Aset akan ditempatkan di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana penyelidik bertugas dan aset tersebut diletakkan di bawah seliaan ketua projek.

Hak Milik ke Atas Laporan Kajian, Rekod-rekod dan Dokumen Berkaitan

  • Semua laporan dan data yang berkaitan seperti peta, rajah, lukisan, statistik dan rekod atau bahan yang dikumpulkan atau disediakan dalam tempoh pelaksanaan kajian adalah sulit dan ianya menjadi harta milik KPT sepanjang masa penyediaan kajian dan selepas kajian selesai dilaksanakan.
  •   Pihak penyelidik tidak boleh bertindak atau melakukan sebarang penyebaran hasil kajian tersebut tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada KPT. Pasukan penyelidik dipohon untuk mendapatkan kebenaran daripada KPT bagi tujuan penerbitan. Semua penerbitan yang dihasilkan daripada dapatan kajian perlukan dimaklum dan diserahkan satu salinan penerbitan kepada pihak Sekretariat untuk tujuan rekod dan makluman awam.

Notis Kelewatan Oleh Pihak Penyelidik

  • Sekiranya pasukan penyelidik menghadapi kesukaran dan menghadapi kelewatan dalam melaksanakan perancangan aktiviti kajian, maka pihak penyelidik hendaklah memohon pelanjutan tempoh pelaksanaan kajian kepada Sekretariat secara bertulis.
  • Kelulusan pelanjutan tempoh kajian dan penyediaan surat kelulusan oleh Sekretariat hanya akan disediakan selepas menerima persetujuan daripada pihak BEM JPT.

Tarikh Tutup

  • Tarikh tutup permohonan: 26 November 2015 (Khamis)

Alamat Sekretariat Program CLMV

Sekretariat Program CLMV
Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara
Universiti Sains Malaysia
Blok C, Aras 2, sains@usm
No. 10, Persiaran Bukit Jambul
Bayan Lepas, 11900 Pulau Pinang
Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.; This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

No. Tel: 04-653 5758/5763   
No. Faks: 04-653 5771
U/P: Cik Noraini Mohamad Yusof

Lampiran